07 Jun 2014

Bimbang suami lebih trampil



Soalan Dilema Perkahwinan, majalah Pa&Ma, Disember 2012: "Perwatakan dan rupa paras suami kelihatan muda walaupun saya sebaya dengannya. Tambahan pula, sikapnya yang peramah tidak kira lelaki atau perempuan membuatkan saya selalu cemburu, bimbang ada yang akan jatuh hati padanya."

JAWAPAN:

Mungkin ada di kalangan pembaca yang pernah dengar pendapat orang tua kita; elakkan berkahwin dengan lelaki sebaya kerana wanita akan lebih cepat tua berbanding lelaki. Benarkah? Hakikatnya, tua yang dimaksudkan adalah menyamai maksud luahan puan dalam kes kali ini. Secara fitrahnya, wanita khususnya yang berkahwin dan melahirkan anak akan melalui proses perubahan hormon dalam tubuh sekaligus menyebabkan perubahan pada bentuk fizikal. Bukan sahaja menyumbang kepada bentuk tubuh yang besar tetapi mempengaruhi paras rupa.

Mungkin sebahagian pembaca berfikir, sekarang telah ada teknologi yang mewujudkan pula pelbagai jenis ubat-ubatan bagi menangangi kes seumpama ini. Betullah! Saya setuju tetapi bantuan ubat-ubatan masih belum mampu mengembalikan keaslian diri seseorang. Namun, isu yang utama dalam kes ini bukanlah asli atau original atau barang kelas kedua atau apa sahaja. Perkara paling penting bagi mengukuhkan hubungan suami isteri bukanlah berkaitan bentuk fizikal dan paras rupa semata-mata. Sebaliknya bahagia dalam hidup berumahtangga akan dikecapi apabila sama-sama saling kasih mengasihi, melaksanakan tanggungjawab yang perlu dan wajar menurut syariat dan turut menerima kekurangan pasangan bukan sahaja kelebihannya.

Berbeza usia, paras rupa, latar belakang keluarga dan pendidikan malah berbeza perwatakan, minat dan kecenderungan bukan alasan untuk tidak boleh hidup bahagia bersama. Saya, anda, kita semua mempunyai satu persamaan iaitu kita berbeza! Berbeza rupa, berbeza minat, berbeza gaya hidup, berbeza pendapat, berbeza pemikiran dan macam-macam lagi. Perbezaan ini yang jadikan kita UNIK dan tersendiri. Perbezaan bukan bererti tidak serasi atau tidak boleh hidup sekali. Malah perbezaan jadikan hidup bersama sebagai perkara istimewa, sama ada sebagai rakan malah sebagai pasangan. Bagaimana? Terima perbezaan dan sesuaikan.
 
Merujuk kepada kes, memang ada asas untuk puan cemburu tetapi jangan dilayan cemburu puan berlebihan. Sebaliknya keistimewaan yang dimiliki oleh suami diterima sebagai satu bonus dan disesuaikan dengan perwatakan puan pula. Bukan salah suami jika ada yang jatuh hati kepadanya. Kelebihan yang dimiliki oleh suami memang menjadi kegilaan kebanyakan wanita namun bukan bererti suami puan juga bakal bertindak serupa. Puan perlu percaya kejujuran suami. Kerisauan berlebihan boleh bertindak sebagai doa, seperti mengharapkan agar ada wanita yang jatuh hati dan diberi respons positif oleh suami. Mahukah keadaan tersebut berlaku?
 
Sememangnya cemburu itu fitrah terutama kepada kaum wanita. Diriwayatkan, Sayidatina Aishah r.anha pernah bertindak mengekori Rasulullah SAW pada waktu tengah malam ketika sedar Rasulullah SAW keluar tanpa memaklumkan kepadanya yang sedang tidur. Diekorinya Rasulullah SAW hingga jelas di matanya, Rasulullah SAW mengunjungi makam Baqi’ dan berhenti seketika serta membacakan tiga doa. Usai berdoa, Rasulullah SAW kembali ke rumah. Tindakan Sayidatina Aishah diketahui oleh Rasulullah SAW lalu baginda Rasul menjelaskan: “Jibril datang kepadaku dan menyampaikan agar aku segera ke Baqi’. Aku sangkakan kau tidur lena maka aku keluar tanpa memaklumkannya kepadamu.”
 
Nah! Isteri Rasulullah SAW juga boleh bersikap cemburu, boleh timbul curiga dalam dirinya sedangkan sedia maklum, suaminya adalah manusia pilihan. Apakah bererti kita wanita akhir zaman ini boleh bertindak berlebihan pula. Ya lah! Kalau begitu perlakuan isteri yang punya suami manusia terpilih, maka wanita yang punya suami dengan pelbagai kekurangan boleh lah bertindak lebih lagi. Betul kah? Betullah tapi masih perlu dalam batasan. Mengambil iktibar daripada kisah dikongsikan tadi, perkara yang perlu dilakukan ialah bersikap berterus terang. Puan boleh luahkan rasa tidak selesa puan kepada suami. Nyatakan, puan kagumi dan berbangga dengan kelebihan suami tapi risau jika perlu berkongsi kelebihan tersebut dengan wanita lain.
 
Seorang suami yang menghargai akan memahami kerisauan puan dan akan bertindak mengawal sikap sendiri. Dia boleh teruskan sikapnya yang peramah cuma dia akan sentiasa beringat, puan tidak suka jika dia melayan seseorang wanita yang lain secara berlebihan, insyaAllah! Sebaliknya, jika puan berdiam diri, tidak luahkan kegelisahan yang puan alami, suami tidak akan faham atau berpendapat isterinya tidak kisah kerana sedia memahami. Rasulullah SAW memahami kegelisahan Aishah maka baginda berterus terang. Sebagai manusia biasa, sikap ini perlu kita teladani.
 
Jangan bertindak berdiam diri. Masalah utama komunikasi sesama setiap insan khususnya suami isteri ialah memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dengan sukarnya untuk difahami. Jalan terbaik, berikan peluang kepada diri sendiri untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah. InsyaAllah! Sama-sama memahami akan dikecapi. Puan juga perlu yakin dengan kelebihan diri sendiri yang mampu menjadi tarikan kepada suami. Menarik itu abstrak malah berbeza mengikut pendapat individu. Menarik bukan saja pada rupa paras dan bentuk tubuh. Menarik juga boleh terdapat pada sifat, sikap, cara berbual malah layanan seseorang. Setiap individu punyai tarikan yang tersendiri untuk memikat individu lainnya. Jangan terlalu rendah diri hingga tidak bersyukur dengan anugerah Ilahi!

Puan juga perlu berusaha untuk menambah mekarkan kasih sayang bersuami isteri. Biar nampak ‘perbezaan usia’ antara puan dan suami walau sebaya, andai kasih sayang kekal utuh dan segar antara kalian, takkan ada masalah biar suami disogok dengan wanita yang jauh lebih menarik dan baik berbanding puan. Ingatlah! Cinta adalah satu perasaan yang muncul dalam diri bila berhadapan dengan satu situasi sahaja; MEMERLUKAN! Lantas, bila diri memerlukan dan diperlukan; usia, rupa, pangkat malah sikap bukan lagi halangan. Sifat cinta adalah bebas tanpa syarat. Yang penting; sama-sama memerlukan! Dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT menyebut tentang cinta iaitu keinginan: “Diperhiaskan (pada pandangan) manusia kecintaan (hubb) terhadap apa yang diingini....”


Yakinlah, andai masih wujud rasa cinta dalam diri suami kepada puan, puan akan kekal di hatinya tanpa berkongsi dengan sesiapa. Lantas, usahakanlah untuk tambah mekarkan kasih sayang. Tips paling utama: menjauhkan diri daripada syak wasangka terhadap pasangan. Kesilapan anda terlalu mudah menaruh syak kepada pasangan boleh menyebabkan kasih sayang bertambah hambar dan boleh menjadi pudar. Anda juga perlu bajai kasih sayang anda bersama pasangan. Ingat!! Kasih sayang bak benih tanaman. Jika benih tersebut sentiasa disiram dan dibaja, ia akan tumbuh subur. Sebaliknya jika dibiarkan tanpa siraman dan baja, ia akan layu dan mati.

Untuk kembali menyiram kasih yang mula layu, anda perlu gunakan luahan sayang dan belaian mesra. Luahkanlah rasa kasih anda dalam nada yang amat romantis dan menggoda, ciumlah pasangan anda dengan penuh rasa cinta. Bimbang dikatakan buang tebiat? Ketepikan kebimbangan tersebut!! Lakukan saja dan jika benar perkataan tersebut keluar dari mulut pasangan anda, jawablah dengan penuh kasih sayang dan suara menggoda: Anda lakukan semua tu sebab rasa cinta dan rindu yang amat sangat kepada pasangan anda!!

Lakukanlah kejutan. Sebagai contoh, jika selama ini hari jadi suami atau majlis ulangtahun perkahwinan hanya disambut biasa, sekadar ucapan, kad dan hadiah, tukarlah kebiasaan tersebut kepada satu majlis hari jadi agak luar biasa,tak perlu besar, cukup disambut dengan bersama suami dan anak-anak tetapi dalam suasana yang berbeza daripada sebelum ini. Anda juga perlu imbangi antara kerjaya dan rumahtangga. Keseimbangan wujud apabila anda berjaya memberikan tumpuan tidak berbelah bahagi kepada rumahtangga dan kerjaya. Tips paling penting; berdoa. Sentiasa berdoa agar kasih sayang suami isteri sentiasa utuh, kekal dan mekar hingga ke akhir hayat. Tak perlu tunggu waktu solat sahaja sebaliknya berdoalah setiap ketika kecuali tika qadha hajat – buang air kecil atau besar. InsyaAllah, dengan segala ikhtiar dan doa anda kepada-Nya, kasih sayang suami isteri akan bersemarak dan kekal hingga akhirnya, tanpa orang ketiga, insyaAllah!