28 Mei 2009

Apa Kata Wanita 31hb Mei

Bersama saya Ahad ini, 31hb Mei, bersiaran secara langsung dari TUDM Subang, mulai 10.05am-11.00am, dalam segmen ALAHAI KHATIJAH membincangkan isu ORANG RUMAH ATAU ORANG GAJI?
--------------------------------------------------------------------------------

Adakalanya Khaty hairan. Macamana lelaki yang nak sangat bergelar suami, tapi tak tahu tanggungjawab. Kalaulah Khaty ni lelaki, tentu Khaty akan fikir panjang-panjang sebelum mengambil tanggungjawab sebagai suami. Mestilah siapkan keperluan apa yang patut.

Paling penting kena ada pekerjaan tetap yang menjamin ekonomi keluarga, kena sediakan rumah, kereta dan keperluan asas yang lain.

Khaty nak cerita ni,…kawan Khaty ni nama dia Ana. Khaty jumpa masa masuk kelas memasak di dewan serbaguna dekat rumah Khaty. Kata Ana, dia tengah cukup tension sebab bersuamikan lelaki yang pemalas, tak pernah kerja lama di satu-satu tempat, dan pulak tu, pernah menganggur 3 tahun selepas berkahwin. Nak tak nak, terpaksalah Ana dan 3 orang anaknya berpindah duduk di rumah mak mentua sebab suami tak mampu lagi nak bayar sewa rumah. Sejak menumpang di rumah emaknya tu, suami Ana langsung tak peduli nak usaha cari kerja. Pemalasnya semakin menjadi-jadi. Mentang-mentang orang tua tu ada sedikit duit pencen yang menanggung makan minum kami dan sebagainya. Malu dah tak terkata. Ibarat anak burung yang tahu menganga saja untuk disuap oleh ibunya.

Untuk mengurangkan rasa segan, suami Ana arahkan Ana ambil-alih semua kerja-kerja di rumah emaknya. Dahlah begitu, adik perempuan suaminya yang tinggal bersama juga amat-amat pemalas. Ana kata dirinya dah macam orang gaji saja duduk di rumah itu. Semua kerja dia kena buat. Mak mentua, suami dan adik iparnya cuma goyang kaki di rumah. Hinggakan pinggan masing-masing selepas makan dah tak mampu nak angkat ke sinki!

Aduh…kesian Ana. Tapi sampai bila Ana boleh bersabar hidup diperhambakan begitu?…Kalau Khatylah,.. dalam keadaan macam tu…mau jugak Khaty ‘angkat kaki’!!

27 Mei 2009

Temui saya di Kedah

Temui saya dalam siri
seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita
anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Kedah seperti berikut:

Tarikh: 30hb Mei 2009
Tempat: Sentosa Regency Hotel, Jalan Putra, Alor Setar

Tarikh: 4hb Jun 2009
Tempat: Rumah Budi Yan, Jalan Masjid, Pekan Yan.

Maklumat lanjut, boleh hubungi Jab. Pemb. Wanita, Alor Setar.

26 Mei 2009

Ibu bapa dan guru

Dah lama sungguh saya tak menyediakan perbincangan untuk blog ini. 18hb lalu, saya sediakan perbincangan khas sempena hari guru tapi tak sempat menamatkannya. Pada hari sambutan, saya bersama 250 peserta dari daerah Hulu Langat dalam Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita. Perkongsian selama tiga jam, memberikan banyak manfaat untuk saya sendiri, banyak pengalaman dan kisah orang lain yang dapat saya ambil untuk dikongsi bersama peminat Resipi Hidup nanti, juga pelayar setia weblog saya ini.


Hari-hari selepas itu, saya sibuk dengan temujanji. Mulai Rabu 20hb pula, saya bercuti balik ke kampung di Sik, Kedah, menjenguk Mak dan Bapa yang kurang sihat. Mulanya hari Sabtu 16hb selesai ceramah, saya dapat tau Mak demam. Memandangkan telah ada temujanji pada hari Isnin-Rabu, saya bersabar dan berdoa Mak segera sembuh. Pagi Rabu, dapat tau dari Angah, Bapa pula demam. Demam biasa saja tetapi suara Mak dah tak keluar, malah tak dapat bangun seperti biasa. Bapa pula, hanya menggagahkan diri ke masjid untuk berjemaah.

Saya minta PA yang juga adik saya sendiri, saya tangguhkan temujanji, habis persekolahan anak-anak di Genius Aulad hari Rabu tu, kami terus bergerak ke utara. Sampai ke rumah hampir senja, dah ada anak-anak kecik ni, banyak tempat nak kena berhenti. Tika sampai, Mak dah beransur sembuh. Bapa juga. Cuma tak ada selera makan. Malam tu, saya yang memasak untuk makan malam. Seronok bila Mak cakap, rasa sedap sikit tekak menjamah makan malam. Bukanlah bererti saya ni pandai masak, masak pun yang mudah-mudah ja cuma dek kerana anak-anak (saya termasuk adik-adik yang tinggal dengan saya dan tinggal berdekatan rumah saya) balik menziarah, mungkin sebab itu Mak rasa makin kuat dan sihat. Bapa senyum ja bila saya suarakan begitu.

Hari Jumaat, kami ke rumah Angah di Gurun, 'berkelah' di rumahnya. Kebetulan Angah juga tak sihat sebelum tu. Bila makan ramai-ramai, memang cukup berselera. Haii!! Kalau lama kat kampung, memang naik berat badan.. itu luah adik saya ... kelakar tapi memang betul, saya pun rasa yang sama.... hehehe..

Sabtu, kami semua ke Air Terjun Lata Mengkuang. Seronok melihat telatah anak-anak bersama sepupu dan mak-bapa saudara bermain air. Mak dan Bapa juga nampak bertambah sihat dan segar. Alhamdulillah, Ahad pagi ketika bertolak kembali ke sini, Mak dan Bapa dah nampak betul-betul sihat. Tambahan pula, ujung minggu ni saya akan balik lagi sebab ada jemputan ceramah di Alor Setar. Minggu depan pun balik lagi sebab ada jemputan ceramah di Yan. Hmmm... tiga minggu berturut-turut saya balik ke kampung.

Memang seronok la anak-anak. Mak kata, dia pun seronok sangat-sangat, dah booking Ayuni untuk tinggal bersama dengannya sepanjang cuti sekolah ni. Suhail pun di'booking' tapi tawaran ditolak. Suhail memang sukar nak berpisah lama dengan saya. Hmmm... harap-harap saya tak menanggung rindu yang keterlaluan sebab tak pernah berpisah terlalu lama dengan Ayuni (saya pernah menangis kerana terlalu rindu tika Ayuni seminggu dengan Mak saya satu tika dulu).

Sahabat saya (memandangkan dia tak suka saya sebutkan namanya, saya namakan sebagai S saja) terlalu risau bila dapat tau saya balik ke kampung sebab Mak saya tak sihat. Bila saya nyatakan hanya demam biasa, baru lah sahabat saya rasa lega. Alhamdulillah, Mak saya berusia 54 tahun dan Bapa saya bakal mencecah usia 59 tahun bulan Jun ini, masih sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit kronik.

Walaupun hanya demam biasa, tak bererti saya dan adik-adik perlu pandang remeh. Bak ayat sms sahabat saya, 'baliklah menjenguk sementara masih ada peluang'... saya bersetuju sangat. Saya bukan mengharapkan apatah lagi mendoakan Mak dan Bapa saya pergi cepat malah dalam doa saya, saya tak lupa doakan agar Mak dan Bapa diberikan kesihatan yang baik dan masih mampu hidup bersama saya. Sungguh... mereka lah kekuatan dan sumber inspirasi saya. Saya belum bersedia untuk kehilangan mereka. Memang lah tak ada sesiapa pun yang bersedia tetapi kita boleh berdoa mohon agar ibu bapa kita dipanjangkan umur di dalam iman kepada-Nya.

Bercerita mengenai ibu bapa, bersesuaian dengan sambutan Hari Ibu yang baru berlalu dan sambutan Hari Bapa yang bakal tiba pertengahan Jun nanti, saya nak kongsi satu kisah yang saya terima daripada luahan hati peminat Resipi Hidup. Menurut emel yang saya terima, wanita pengirim emel kini menyimpan dendam dengan ibu bapanya yang memaksa dirinya berkahwin dengan lelaki yang bukan pilihan hatinya. Sepanjang hampir 15 tahun perkahwinan pula, dia tidak pernah dilayan dengan baik oleh si suami. Wanita ini pernah mengadu dengan ibu bapa tentang sikap si suami malangnya, diri sendiri ditempelak, dengan alasan sengaja mengada-adakan cerita disebabkan masih tidak boleh terima pilihan ibu bapa.

Setelah beberapa kali menerima jawapan yang sama, membuatkan wanita tadi berdiam diri dan enggan bercerita lagi. Menjadi tambah tertekan bila ibu bapa memberikan amaran, jangan cuba bertindak yang tidak sepatutnya, buruk padahnya nanti. Wanita tadi faham dengan maksud ibu bapanya, mereka melarang dia membubarkan perkahwinannya walau apa juga alasan. Kini, wanita pengirim emel berasa amat tertekan dan tidak tahu apakah yang mesti dilakukannya?

Hmmm...semua orang tau, sebagai anak, kita wajib taat dan hormat kepada kedua ibu bapa. Ya, ada tikanya ibu bapa tersilap dalam membuat pertimbangan namun ia bukanlah satu lesen untuk anak-anak hilang hormat, tidak taat apatah lagi membenci dan berdendam dengan ibu bapa sendiri. Saya tidak pasti apakah maksud sebenar si wanita apabila memperkatakan tentang layanan suami yang tidak baik. Saya tidak menafikan cerita si pengirim emel namun berdasarkan pengalaman mengendalikan pelbagai kes, memang ada tikanya, rasa tidak puas hati dengan layanan pasangan berpunca daripada sikap diri anda sendiri yang tidak dapat menerima pasangan anda. Saya pernah menerima kes, wanita mohon cerai setelah lebih 22 tahun hidup berkahwin tetapi masih gagal menyayangi dan mencintai suami walaupun si suami amat penyayang dan bertanggungjawab.

Ya! Cinta bukan paksaan tetapi cinta boleh dipupuk dan dibaja jika anda memberi peluang kepada diri anda sendiri. Wallahua'lam, itu pendapat dalam psikologi. Saya tak berani nak yakinkan 100% kesahihannya namun hakikatnya, itu bukan perkara mustahil. Cam kata orang, lebih mudah mengubah hati dan perasaan sendiri daripada mengubah hati dan perasaan orang lain. Tepuk dada, tanya lah hati anda...

Walau apa pun jawapannya, jika anda benar-benar tidak dapat meneruskan perkahwinan dek kerana tiada cinta dan kasih sayang setelah berulang kali mencuba, jangan seksa hidup anda. Paling penting, jangan biarkan diri anda berdosa. Berterus teranglah dengan pasangan dan ahli keluarga anda. Jika keadaan anda sama seperti wanita pengirim emel, gagal menerima layanan yang sepatutnya daripada suami, yang memungkinkan juga ke arah tidak wujud rasa kasih dan sayang di hati anda, kumpulkan bukti-bukti berkaitan dan adukan kepada pihak yang bertanggungjawab.

Sebagai ibu bapa pula, anda mempunyai peranan dan tanggungjawab. Anda juga manusia biasa, sama seperti anak-anak anda. Anda juga boleh tersilap dan bersalah. Jangan menafikan kebenaran tersebut. Jangan hanya mendengar kata hati dan emosi anda. Sebaliknya, anda perlu ambil peduli juga tentang hati dan perasaan anak-anak anda. Anda punya kuasa, itu kebenaran. Namun, kuasa anda bukan mutlak. Kesilapan anda menggunakan kuasa hingga menjadikan anda ibu bapa yang gagal dalam melaksanakan tanggungjawab boleh menyebabkan jiwa anak-anak tersiksa, membuatkan mereka bersikap derhaka terhadap anda dan paling penting, anda akan dihisab dan dihukum di akhirat kelak.

----------------------------------------------------------------------------------------

Selesai kisah ibu bapa, saya nak abadikan kisah mengenai guru pula. Walau agak lewat dan lambat, saya tetap nak ucapkan TERIMA KASIH CIKGU.... hanya itu yang dapat saya ucapkan kepada semua guru saya:

-cikgu-cikgu di Sekolah Kebangsaan Sik (1981-1986), yang masih melekat di ingatan saya, Cikgu Fatimah Ahmad (guru kelas semasa darjah 1), Cikgu Normah Ariffin (guru kelas semasa darjah 2), Cikgu Che Som (guru kelas semasa darjah 3), Cikgu Shofroh Othman (guru kelas semasa darjah 4), Cikgu Khatijah (guru kelas semasa darjah 5), Cikgu Norida Sabarina (guru kelas semasa darjah 6), Ustaz Mat Isa, Ustaz Zakaria, Cikgu Salbiah dan Cikgu Ramlah (guru Pengakap), Cikgu Asmawati (mak angkat untuk program pelajar angkat untuk pelajar PPDV), Cikgu Zarina, Cikgu Zahariah...

- cikgu-cikgu di Madrasah Infitah Khairiah Batu 8, Sik (1987-1991) atau tika itu lebih dikenali dengan nama Sekolah Arab Sik ~ Ustaz Ramli, Cikgu Sholehah, Cikgu Mohd Nasri, Cikgu Normah, Cikgu Che Nasri, Cikgu Fatimah, Ustaz Hussein, Ustaz Yahya, Ustaz Zakaria, Allahyarham Ustaz Mohd Noh, Cikgu Ahmad, Ustaz Ayub...

- cikgu-cikgu di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang (1992-1993) ~ Ustazah Noor Aina Sabarina (idola saya tika saya hampir 'melarikan diri' dari KISAS tika itu), Cikgu Habib, Ustazah Aminah...


- cikgu-cikgu di Akademi Islam (tika itu sebelum bertukar ke Akademi Pengajian Islam) bermula Jun 1994 hingga April 1998 ~ Dr Raihanah Abdullah, Prof. Madya Dr Ahmad Hidayat Buang, Dr Ruzman, Datuk Mahmood Zuhdi, Ustaz Shukri, Ustazah Anisah, Ustazah Faezah...

- cikgu-cikgu tika Pengajian Sarjana Psikologi UKM....

Maaf sebab ramai cikgu saya yang saya tak ingat nama. Memang ramai lagi, bayangkan bermula tika tadika tahun 1979 dan 1980 (bukan kelas mengulang ya tapi saya dah tak sabar nak sekolah, maka Bapa saya masukkan saya awal ke tadika. Zaman saya, 6 tahun baru boleh masuk tadika, bukan macam sekarang ni...), kemudian tika sekolah rendah termasuk guru-guru fardhu ain, sekolah menengah seterusnya tika pengajian tinggi...

TERIMA KASIH yang tak terhingga.... tanpa kalian, saya tak mungkin berada dalam situasi sekarang. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada saya. Ya lah, walau mengajar sepotong huruf, orang itu adalah guru anda...

Guru paling agong di dalam hidup saya... Bapa saya sendiri, GHAZALI EBRAMSA dan Mak saya, CHE SU HJ MD ISA..... Mak dan Bapa adalah guru paling sejati.... kalian berdualah sumber inspirasi dan guru sepanjang hayat....

Ya Allah!! Kurniakan rahmat-Mu kepada semua guruku... moga semua guruku sentiasa di dalam riayah dan inayah-Nya selalu....amiinnn!!!!

12 Mei 2009

Selamat Hari Ibu

Mungkin agak terlambat entri ini namun, jika ada yang masih belum melafazkan sayang anda kepada ibu anda, ucapkan segera sebelum terlambat... ucapkanlah berkali-kali biar hati ibu gembira kerana ibu memang berhak bahagia...













--------------------------------------------------------------------------------------
Selamat Hari Ibu kepada semua ibu dan bakal ibu. Moga kita dapat menjadi seorang ibu yang mampu memberikan syurga kehidupan di dunia dan akhirat kepada anak-anak kita, amiinnnn!!

06 Mei 2009

Hadiah sempena Hari Ibu

Ahad ni, 10hb Mei dirayakan seperti saban tahun sebagai Hari Ibu.

Saya ada isu menarik untuk dikongsi sempena Hari Ibu nanti namun kali ini, saya nak cadangkan kepada anda semua untuk menghadiahkan buku BUATMU WANITA, khusus untuk wanita teristimewa di dalam hidup anda sama ada ibu anda atau ibu anak-anak anda.

"Anda perlu baca buku ini!! Bukan arahan sebaliknya satu usul yang tak perlu dibahaskan lagi!Buku ini menghuraikan segala fakta yang relevan dan sinonim dengan kehidupan seorang wanita: bermula sebagai seorang anak kemudiannya bergelar tunangan orang, dikahwinkan dan memegang gelaran seorang isteri, ada yang diuji dalam perkahwinannya dan terpaksa mencari jalan penyelesaian. Secara ringkas dan mudah, buku ini memberikan anda segala fakta yang perlu anda tahu sepanjang anda menjalani kehidupan tersebut.Banyak kisah hidup orang lain yang boleh anda jadikan iktibar dan pengajaran kerana pengalaman sama ada daripada sesiapa juga, adalah sekolah kehidupan yang paling tinggi harganya. Baca, penuhi minda dengan ilmu berguna, insyaAllah anda takkan menyesal."- Petikan 'back cover' buku BUATMU WANITA

Mungkin agak suntuk tetapi anda belum terlewat. Hubungi segera talian 013-2545965 untuk maklumat lanjut.


**** Terima kasih Ellie atas ingatan.

05 Mei 2009

Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita

Bersama saya dalam siri
SEMINAR MENANGANI KEGANASAN TERHADAP WANITA
anjuran Jabatan Pembangunan Wanita, Kem. Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Tarikh: 10hb Mei 2009
Tempat: Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor
Maklumat lanjut hubungi 03-55118890


Tarikh: 16hb Mei 2009
Tempat: Batangkali, Selangor
Maklumat lanjut hubungi 03-55118890


Tarikh: 27hb Jun 2009
Tempat: Putrajaya
Maklumat lanjut hubungi 03- 26922004

PENYERTAAN TERBUKA KEPADA SEMUA...!!

04 Mei 2009

Selamat Hari Pekerja

Rasaya masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat menyambut Hari Pekerja. Tema Keranamu, Malaysia Maju memang sesuai namun, dalam masa yang sama, perlu diingat, bekerja ertinya mencari rezeki yang halal. Pekerja bertanggungjawab menjalankan amanah yang diterima daripada majikan. Majikan juga mempunyai amanah untuk menjaga kebajikan pekerja. Semoga mereka yang masih mempunyai masalah dalam pekerjaan, mendapat jalan penyelesaian segera.

Saya kongsikan satu emel yang saya terima:
-------------------------------------------------------------------------
Pekerja curi masa ketika di pejabat, buat kerja peribadi akan diperhitung di akhirat

MENJALANKAN kerja yang halal bermakna membawa rezeki diberkati untuk menanggung kehidupan sendiri mahupun keluarga. Jauhilah daripada kerja haram dan subahat kerana kelak pintu keberkatan rezeki akan tertutup.

Daripada Anas bin Malik meriwayatkan, seorang lelaki daripada kaum Ansar datang menemui Rasulullah SAW dan meminta sesuatu kepada Baginda. Tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya lelaki itu: "Adakah sesuatu di rumahmu? Jawabnya: Ada, ya Rasulullah. Saya mempunyai sehelai kain tebal, yang sebahagian kami gunakan untuk selimut dan sebahagian kami jadikan alas tidur. Selain itu, saya juga mempunyai sebuah mangkuk besar yang kami guna untuk minum." Rasulullah SAW meminta lelaki itu membawa barang berkenaan dan menyerahkannya kepada Baginda.

Setelah barang diterima, Rasulullah SAW melelongnya kepada sahabat yang hadir pada saat itu, Baginda menawarkan pada siapa yang mahu membeli. Salah seorang sahabat menawar kedua barang itu dengan harga satu dirham. Tetapi Rasulullah SAW menawarkan kepada mereka barangkali ada yang sanggup membeli lebih daripada satu dirham. Kemudian ada yang menawarkan dua dirham dan Rasulullah SAW menyerahkan kedua barang itu kepada si pembeli dan menerima wangnya. Wang itu lalu Baginda SAW serahkan kepada lelaki Ansar berkenaan, seraya berkata: "Belikan satu dirham untuk keperluanmu dan satu dirham lagi belikan sebuah kapak dan engkau kembali lagi ke sini." Tidak lama kemudian lelaki itu kembali menemui Rasulullah SAW dengan membawa kapak.

Rasulullah SAW melengkapi kapak itu dengan membuatkan gagangnya terlebih dulu, lantas berkata, "Pergilah mencari kayu bakar, lalu hasilnya kamu jual di pasar dan jangan menemui aku sampai dua pekan." Lelaki itu taat melaksanakan apa yang disaran Rasulullah SAW. Selepas dua pekan berlalu lelaki itu menemui Rasulullah SAW melaporkan hasil kerjanya. Dia memberitahu Rasulullah SAW bahawa selama masa itu dia berjaya memperoleh wang sebanyak sepuluh dirham. Sebahagian perolehan digunakan untuk membeli makanan dan pakaian.

Selepas mendengar kata-kata lelaki Ansar itu, Rasulullah SAW bersabda: "Pekerjaanmu ini lebih baik bagimu daripada kamu datang sebagai pengemis, yang akan membuat cacat di wajahmu kelak pada hari kiamat." Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: "Demi Allah, jika seseorang di antara kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan untuk belanja mengisi perut bahkan bertujuan memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang seharusnya dipertahankan. Islam menghargai orang yang bekerja dengan tangannya sendiri. Rasulullah SAW pernah ditanya: "Pekerjaan apakah yang paling baik? Beliau menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik." (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Seorang yang bekerja dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya akan bertambah martabat serta kemuliaannya. Sebaliknya, mereka yang berat tulang dan lebih selasa menganggur, memberi imej buruk dan negatif pada pandangan serta penglihatan orang lain.

Diceritakan pada suatu hari Saidina Umar Al-Khattab melihat Zaid bin Maslamah sedang menanam tanaman di tanahnya, maka berkatalah Saidina Umar kepada Zaid: "Benar sekali perbuatanmu itu. Engkau tidak menggantungkan hidupmu kepada orang lain adalah cara terbaik untuk memelihara agamamu dan amat mulia untuk menjaga martabat dirimu." Saidina Umar juga pernah memberitahu: "Sesungguhnya aku memandang seorang pemuda, maka aku kagum kepadanya. Lantas aku bertanya kepadanya apakah pekerjaan yang dilakukannya. Lalu dijawab tidak, maka jatuh nilai pemuda itu pada pandanganku."

Memang benar kehidupan sebagai buruh sangat berbeza dengan kehidupan eksekutif. Secara umumnya buruh dilihat memerah keringat sementara eksekutif bertungkus-lumus memerah dan mengeluarkan idea. Jika semuanya itu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah nescaya ia akan menghasilkan produk yang sangat bermanfaat dari segi masa, kos dan tenaga sementara ruang lingkup kehidupan pula akan lebih sejahtera.

Di samping itu, kita hendaklah mengetahui setiap tugas atau kerja yang diberi Allah SAW kepada seseorang itu adalah menurut kemampuan mereka seperti firman Allah yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya." (Surah al-Baqarah , ayat 286) Ayat itu menegaskan tidak ada sebab bagi seseorang pekerja itu mengeluh dan mengatakan bahawa tugasnya terlalu berat dan sukar. Seseorang pekerja itu boleh menyelesaikan segala tugas jawatannya, melainkan pekerja itu sendiri tidak mahu menunaikan tanggungjawabnya.

Bagi pekerja yang punya prestasi kerja tinggi, komited, menjaga akhlak, masa dan bermatlamat jelas untuk kepentingan keluarga, agama dan majikan, wajar dihargai serta disanjung tinggi. Islam memandang tinggi kepada golongan pekerja seperti ini. Apalagi banyak antara mereka yang melakukan kerja dari subuh hingga larut malam bagi tujuan memenuhi keperluan keluarganya. Atas niat yang betul, mereka akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Pekerja mahu pun majikan wajib mentaati dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah.

Seorang buruh wajib bekerja sesuai dengan akad yang disepakati bersama begitu juga majikan memastikan pekerja mendapat haknya. Jangan sekali-kali kita lupakan bahawa bekerja mengikut kaedah Islam adalah berbeza mengikut pendekatan Barat. Dalam Islam, pekerjaan halal yang dipilih akan meletakkan status pelakunya pada tahap yang tinggi sehingga pahala diperoleh seperti pahala orang yang berjihad di jalan Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah." (Hadis Bukhari)


Kita hendaklah insaf dan sedar bahawa setiap kegiatan dan pekerjaan di dunia ini akan dihitung di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud: "Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang sudah diperbuatnya." (Surah al-Muddaththir, ayat 38) Kita tidak boleh mengambil peluang mencuri masa dengan membuat kerja peribadi dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak kerana kita akan dihukum di akhirat kelak walaupun terlepas hukuman di dunia.

Sebaliknya, berbahagialah kita di dunia dan akhirat jika kita melaksanakan tugas menurut tuntutan Islam dan bergembiralah mana-mana pekerja yang mendapat keredaan Allah dengan ganjaran pahala. Islam benci kepada mereka yang layak bekerja tetapi menjadi pengemis atau penganggur sementara yang mempunyai tanggungjawab perlu melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya dan amanah kerana Allah SWT.

-Di tulis oleh: Amran Zakaria - Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Damai.