31 Disember 2008

Azam tahun baru

Dah tiga hari kita berada di tahun Hijrah 1430. Hari yang sama juga, kita berada di penghujung tahun 2008. Esok, hari pertama di tahun 2009 bermula. Betapa cepat masa berlalu, seakan baru saja menyambut tahun baru 2008. Namun, apabila melihat anak-anak membesar di depan mata, sungguh... masa berlalu dan semakin cepat berlalu.

Bagaimana? Dah tertunai hasrat dan azam anda di tahun 2008 ini? Tak cukup resipi jika menyambut tahun baru tanpa memperkatakan mengenai azam kan? Walau ada yang berpendirian, azam perlu ada setiap hari, bukan setiap awal tahun sahaja. Jika anda hayati kata-kata hikmah dan puisi yang saya masukkan dalam entri sebelum ini, memang tidak dapat dinafikan, azam perlu ada pada setiap hari.

Cuma, dalam memperkatakan mengenai azam ini secara lebih luas; hakikatnya terdapat dua jenis azam iaitu azam untuk matlamat jangka masa pendek dan azam untuk matlamat jangka masa panjang. Matlamat jangka pendek inilah yang dikategorikan sebagai azam setiap hari. Ya lah, jika azam anda untuk berkahwin tahun 2009 ini, takkan lah boleh tercapai azam tersebut dalam masa sehari kecuali anda dah ada perancangan sejak awal, sejak hujung tahun 2008 dan majlisnya diadakan pada 1 atau 2hb Januari 2009. Tapi tak sesuai jugak menjadi azam 2009 sebab anda telah berhasrat sejak awal.

Berazam bermaksud anda berniat dan berhasrat untuk mencapai sesuatu. Sebaiknya, anda amalkan untuk menyediakan azam saban hari, saban minggu, saban bulan dan akhirnya azam paling besar untuk dicapai dalam tempoh setahun 2009 akan datang. Paling penting, bukan sekadar berazam sebaliknya berusaha untuk mencapai setiap azam tersebut.

Dalam berazam pula, perlulah azam dan hasrat yang baik. Hasrat, azam dan kehendak yang tidak menyakitkan hati orang lain, yang tidak mengganggu kebahagiaan orang lain. Saya tahu, ada individu yang memegang prinsip: Do or die. Saya hormati kekuatan semangat anda tetapi biarlah prinsip tersebut digunakan tepat pada tempatnya. Elakkan daripada menganiayai orang lain jika anda sendiri tidak suka dianiaya. Hormati hak orang lain jika anda mahu hak anda dihormati.

Perlu diingat; berazam bukan bermaksud anda akan senang dan mudah mencapai segala azam anda. Ingat!! Bukan senang nak senang. Setiap saat yang anda hadapi bererti kemungkinan anda berdepan dengan pelbagai ujian. Anda perlu berusaha dengan sedaya upaya anda. Terus tabah dan cekal menghadapi apa saja ujian kerana ujian yang anda hadapi bukanlah bertujuan menggagalkan usaha anda sebaliknya sebagai penambah semangat dan motivasi untuk anda terus berusaha mencapai azam anda itu.

Bercakap memang mudah tetapi saya tidak bercakap kosong. Hayati kisah individu cemerlang selepas menghadapi pelbagai ujian:

1. Thomas Edison - telah gagal selepas mencuba 9999 kali dan cubaan kali ke 10,000, mentol berjaya dicipta. Menurutnya, beliau bukan gagal tetapi belum menemui kaedah yang betul.

2. Kolonel Harlan Sanders - menjual ayam di kaki lima dan mengetuk pintu dari rumah ke rumah. Selepas cubaan kali ke 1009 kali, baru berjaya menjual seketul ayam dan kini, semua suka KFC.

3. Rasulullah SAW - berusaha selama 23 tahun untuk menyebarkan Islam, bermula secara sulit kemudian terang-terangan dan kini, Islam ada di mana-mana.

Susah kan nak berjaya tetapi setiap individu boleh melakukan apa juga hasrat, azam dan kehendak anda jika anda tetap cekal, tabah dan kuat semangat dan paling penting juga, tidak mengenepikan doa dan tawakkal kepada Allah SWT.

Seperti yang selalu saya katakan, hanya Dia yang tahu yang terbaik untuk anda. Lantas, dalam apa juga hasrat anda, serahkan kepada-Nya: mohon petunjuk daripada-Nya. Jika hasrat anda baik untuk anda dan insan tersayang di sekeliling anda, mohon dimudahkan pencapaiannya dan jika sebaliknya, tunjukkanlah jalan yang terbaik untuk anda lalui dan tempuhi agar anda dan insan sekeliling anda turut gembira.

Kenapa perlu pertimbangkan perasaan orang lain juga? Ya!! Sebagai manusia, kita tak mampu hidup sendiri. Walau siapa pun anda, walau sebanyak mana pun harta anda, walau setinggi mana pun pendidikan anda, walau sebesar mana pun pangkat anda, anda tetap perlukan orang lain untuk hidup sejahtera.

Ingatlah kejadian diri, kita semua bermula dengan setitis mani yang amat hina, dijadikan sebagai manusia yang dianugerahkan akal berbeza dengan makhluk Allah lainnya agar kita berfikir dengan waras dan wajar. Manusia yang waras akan berusaha menunaikan segala tanggungjawab yang diberikan kepadanya: sebagai anak, sebagai ibu atau bapa, sebagai isteri atau suami, sebagai pekerja, sebagai majikan, sebagai jiran, sebagai pelajar, sebagai guru dan pelbagai peranan lagi termasuklah peranan kita sebagai hamba-Nya.

Lantas, demi 1430 yang baru bermula dan 2009 yang bakal menjelma, sama-samalah kita perbaiki diri, menjadi insan cemerlang dari segi akhlak, cemerlang dalam ilmu, cemerlang dalam memegang apa juga peranan yang diamanahkan kepada kita... insyaAllah, kecemerlangan paling utama, dalam mendapat keredhaan-Nya...amiinnnn

**** Teringat lagu nasyid yang menjadi pembakar semangat saya dan rakan2 ketika menghadapi pilihanraya MPPUM tahun 1996. http://members.tripod.com/kepena20/files/text/sorotan.htm


Cari-cari, berjumpa juga, Alhamdulillah! Hayatilah:



Liriknya:
Umat Islam harus cemerlang
Hari ini mesti lebih baik dari semalam

Jangan buang masa
Siapa kata kita tidak boleh
Kita ada ALLAH Maha Kuasa
Kita punya kuasa tenaga
Do’a sebagai senjata
Umat Islam sentiasa boleh!
Umat Islam sentiasa boleh!

Umat Islam zaman lampau
Taat perintah Rasulullah
Bersama berusaha
Bersatu tuju wawasan
Dunia dan Akhirat
Wawasan dunia dan Akhirat
Akhirnya Islam cemerlang seluruh dunia

Wawasan diri
Penuhi dada dengan ilmu
Wawasan agama bekalan masa depan dan Akhirat

Kuat usaha
Jujur dan amanah
Sentiasa mengharap keredhaan ALLAH
Aqidah ibadah harus sempurna
Ibadah tanpa aqidah wawasan syaitan

Ulama’ warisan anbiya’
Pegangan mereka harus diikut
Ajaran sesat wajib hindari!

26 Disember 2008

Salam Maal Hijrah

Tiga hari lagi, semua umat Islam akan menyambut tahun baru Hijriah, 1430. Dua hari selepas itu, tahun baru Masehi 2009 pula. Seingat saya, inilah kali pertama dalam usia saya, tahun hijrah dan tahun masehi terlalu hampir sama sambutannya.

Biasanya, awal Muharram tak ada apa-apa pengertian sangat berbanding sambutan awal Januari. Tak tahulah kenapa? Mungkin kerana hanya segelintir sahaja yang meraikan Maal Hijrah ini dengan sebenar-benarnya berbanding lebih ramai yang meraikan sambutan awal Januari.

Saya tak nak bincang tentang sambutan mana-mana tahun baru pun. Terpulanglah kepada anda. Fokus saya ialah kepada topik biasa menyambut tahun baru. Bagi umat Islam, sesuai dengan nama tahun Hijrah, inilah masanya untuk kita semua berhijrah... daripada kejahatan kepada kebaikan, daripada kegagalan kepada kejayaan malah daripada kekecewaan kepada kebahagiaan.

Jika sebelum ini anda sering gagal menunaikan kewajipan sebagai hamba-Nya, berusahalah agar hari-hari mendatang selepas ini, anda mampu menjadikan diri anda hamba-Nya yang soleh/solehah dan sentiasa diredhai. Jika sebelum ini anda gagal menjalankan kewajipan sebagai seorang suami atau isteri, dah tiba masanya untuk anda berubah menjadi seorang suami dan isteri yang bertanggungjawab dan menjalankan peranan anda dengan sebaik-baiknya.

Jika sebelum ini anda gagal melaksanakan peranan anda sebagai ibu atau bapa, jalankanlah peranan anda dengan sebaik-baiknya agar anda mampu berbangga dengan hasil didikan dan bimbingan anda kepada anak-anak anda satu hari nanti.

Sebagai seorang anak, anda juga punya tanggungjawab kepada ibu bapa anda malah anda juga punya peranan dan tanggungjawab kepada ibu bapa mertua anda. Ingat!! Apabila anda mengahwini seorang lelaki atau seorang wanita, anda bukan sahaja mengahwini pasangan anda itu sebaliknya anda juga perlu menerima seluruh keluarganya.

Saya yakin, anda pernah dengar dan mungkin tahu mengenai doa awal tahun dan doa akhir tahun. Apa pun, saya masukkan juga doa tersebut di sini:

Doa Awal Tahun:

Maksudnya: Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. Yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami.

Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Dikhabarkan, sesiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.
Doa Akhir Tahun:

Maksudnya: Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya.
Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepada-Mu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Dikhabarkan, sesiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata: "Hampalah kami di sepanjang tahun ini."
Walau apa pun, jangan hanya mengamalkan doa awal tahun dan doa akhir tahun ini sahaja. Sebaliknya, anda perlu berusaha ke arah menjadikan segala intipati doa ini satu kenyataan. Anda juga perlu terus berdoa agar hari-hari yang mendatang adalah yang terbaik untuk kehidupan anda, untuk keluarga anda, untuk kerjaya anda malah untuk kehidupan anda yang abadi di akhirat kelak.
Tak kiralah apa juga ujian yang anda terima, jadikan ia sebagai semangat untuk anda terus menghadapi hari-hari seterusnya.
Teringat satu kata hikmah: Every day is a new life to a wise man.
Hayati puisi di bawah:
Look to this day!
For it is life, the very life of life.
In its brief course
Lie all the verities and realities of your existence:
The bliss of growth
The glory of action
The splender of beauty
For yesterday is but a dream
And tomorrow is only a vision
But today well lived makes every yesterday a dream of happiness
And every tomorrow a vision of hope
Look well, therefore, to this day!
Such is the salutation to the dawn... - by Kalidasa.
***Moga hari ini lebih baik daripada semalam, moga hari esok lebih baik daripada hari ini dan moga tahun akan datang lebih baik daripada tahun ini dan moga hari-hari mendatang akan sentiasa lebih baik untuk kita semua.... amiiinnnn!!!!

23 Disember 2008

Doa untuk pasangan

Salam untuk semua. Alhamdulilllah, berjumpa semula selepas lebih seminggu saya tidak menjenguk blog ini. Seperti biasa, bila mula masuk ke pejabat, ada urusan yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu. Tak nak kecewakan pengunjung setia, saya kongsi dengan anda semua doa untuk pasangan.

Saya terima kiriman ini daripada seorang rakan, dengan tajuk doa isteri untuk suami... saya tukarkan menjadi doa untuk pasangan kerana bagi saya, setiap individu, isteri dan juga suami perlu berdoa yang terbaik untuk pasangan masing-masing demi kesejahteraan hubungan dan kebahagiaan perkahwinan mereka.

Ada doa di dalam bahasa Arabnya tapi ingat penyataan saya sebelum ini, berdoalah di dalam bahasa yang anda sendiri fahami agar lebih mudah untuk anda hayati doa tersebut. Di bawah ini terjemahan doa yang dimaksudkan. Tak perlulah anda hafaz ayat demi ayat. Yang penting, anda petik fakta-fakta yang perlu dan amalkan di dalam doa seharian. Bagi para suami, tukarlah perkataan suami itu kepada perkataan isteri yer!

------------------------------------------

Ya Allah bagi Mu segala kepujian dan kesyukuran sebagaimana layak untuk Mu dengan kebesaran kekuasaanMu dan kemulian wajahMu dan ketinggian kemulianMu yang bilamana Engkau menjadikan dia sebagai suamiku.

Ya Allah Engkau jadikanlah dia penyejuk mataku dan pembantu untuk aku mentaati Mu

Ya Allah Engkau jadikanlah aku sebagai penenang untuknya dan penasihat yang diberkati

Ya Allah Engkau kasihkan aku kepadanya dan kasihkannya kepada aku

Dan rezekikan kami zuriat yang soleh yang menjadi kebaikan kepada agama dan dunia

Ya Allah jadikan antara kami berdua sebagaimana antara Ali dan Fatimah

Ya Allah satukan hatiku dengan hati-hati ahli keluarganya dengan rahmatMu Wahai Yang Maha Pemurah

Ya Allah tutupilah keburukanku padanya dan tutupilah keburukannya kepada ku

Dan perlihatkanlah kepadaku kebaikannya dan redhakan aku apa yang telah Kamu beri kepadaku dan berkati aku padanya

Ya Allah permudahkanlah ia bagi ku dan permudahkan urusanku bersamanya dan jauhikanlah aku keburukannya

Jadikanlah aku berpuashati dengannya dan dia berpuashati denganku

Ya Allah jadikanlah aku di matanya hebat dan jadikanlah ia di mataku kecil

Ya Allah bukakanlah antaraku dan suamiku dan ahli keluarganya sesungguhnya Engkau sebaik-baik pembuka

Ya Allah yang menghimpunkan manusia pada hari Kiamat, himpunkan aku dan suamiku dalam kebaikan

Ya Allah Engkau jadikan aku sebagaimana yang ia sayangi dan jadikan ia sebagaimana yang aku sayangi dan jadikan kami sebagaimana yang Engkau sayangi

Ya Allah Engkau jadikan hati suamiku tergantung kepadaMu dan kemudian tergantung kepada rasulMu dan kemudian kepadaku

Ya Allah Engkaulah yang menguruskan kenikmatan dan kelazatan dalam kesusahanku,

Jadikanlah kegarangannya terhadapku suatu kesejukan dan keselamatan sebagaimana engkau jadikan api ke atas Nabi Ibrahim suatu kesejukan dan keselamatan

Ya Allah berikanlah petunjuk kepadanya sebagaimana yang Engkau kehendaki dan redha

Ya Allah Engkau yakinkanlah hatiku bahawa sesungguhnya aku tidak akan dicelakai dan Engkau sentiasa bersamaku

Ya Allah perkenankanlah
Ya Allah perkenankanlah
Ya Allah perkenankanlah

***Ayat terjemahan ini memang agak mengelirukan. Seperti yang saya tegaskan di awal tadi, petik fakta-fakta yang perlu dan amalkan di dalam doa seharian. Berdoalah kerana hanya Dia penentu segalanya...

12 Disember 2008

Cuti dalam kerja

Saya ingin mengumumkan, mulai 15hb hingga 19hb Disember ini (Isnin hingga Jumaat), saya akan bercuti dalam erti kata tidak ke pejabat sebaliknya masih bekerja kerana saya terlibat dalam satu program 'training'.

Memandangkan program adalah penuh sehari (9.00am-6.00pm) selama lima hari berturut-turut, maka agak sukar untuk saya menjenguk emel anda mahupun menjenguk blog ini. Dah balik rumah tu, anak-anak lebih penting lah kan :)

Untuk perhatian semua, PA saya Pn Haiza turut terlibat di dalam program tersebut maka jika anda inginkan temujanji untuk minggu selepas itu, sila sms tarikh dan masa yang anda inginkan. Pn Haiza akan membalas sms temujanji anda itu secepat mungkin.

Hingga Selasa 23hb nanti (saya cuti pada 22hb Dis), moga perjalanan hidup kita semua sentiasa di landasan yang betul dan di dalam peliharaan-Nya.

Tabah dan sabar menerima ujian hidup kerana hidup tanpa ujian adalah hidup yang mati!!

Senyum selalu :)

10 Disember 2008

Perjumpaan Ahli Kelab Bersama Suzana

Sebelum ini, saya maklumkan perjumpaan akan diadakan pada 21hb Disember. Namun, atas sebab yang tak dapat dielakkan, perjumpaan bersama ahli-ahli KBS akan diadakan pada 1hb Januari 2009 bertempat di Subang Jaya, Selangor.

Aktiviti yang akan diadakan:
1. sesi taaruf
2. ceramah motivasi diri - "Bina Bahagia"
3. pelancaran program KBS 2009

Masa: 9.30am-1.00pm

Yuran: RM30 sahaja
- bank in kan ke Bina Bahagia Services - Bank Islam 120650 10035 871
- kemudian fakskan slip bayaran ke 03-5621 9722 - pastikan anda catatkan nama, nombor keahlian dan catatkan 'Kehadiran ke Perjumpaan KBS

Bagi ahli KBS yang berminat, sila hubungi Pn Haiza 013-2545 965 atau emelkan kepada binabahagia@gmail.com.

05 Disember 2008

Salam Aidil Adha

InsyaAllah, Isnin ini ummat Islam di Malaysia, bersama-sama dengan saudara-saudara yang sedang menunaikan ibadah haji, akan menyambut Hari Raya Aidil Adha atau biasa sangat disebut Hari Raya Korban. Hari Raya Korban berbeza dengan Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Puasa kerana tika hari gemilang ini, selain bertakbir dan bersembahyang, umat Islam yang berkemampuan digalakkan menyembelih korban sebagai bukti keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT di samping memperingati sunnah Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya.

Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya telah melakukan pengorbanan demi menjunjung tinggi perintah Allah SWT. Pengorbanan menjadi ujian kepada ummat manusia sejauhmanakah mereka itu beriman dan mengabdikan diri kepada Allah yang menjadikannya, yang memberi rezeki dan segala kurniaan yang tidak terhingga kepadanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mengapa kamu kufur dengan Allah, pada hal kamu dahulunya mati (tiada), lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan, kemudian dihidupkan kembali, kemudian kamu dikembalikan kepada-Nya".- surah al-Baqarah ayat 28.

Hakikatnya, ummat Islam merayakan Aidil Adha sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Ilahi. Ia bukan sekadar kemenangan yang terkandung dalam ibadah haji itu sahaja malah mempunyai hubungan dengan satu peristiwa yang berlaku pada tahun kesembilan hijrah.

Dalam waktu ibadah haji pada tahun tersebut, suatu ketetapan telah diisytiharkan kepada masyarakat Arab Mekah ketika itu mengenai hubungan diplomatik antara orang-orang Islam dengan yang bukan Islam telah dimeterikan dan dikuatkuasakan.


Kota Mekah telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai tanah haram. Musyirikin Quraisy tidak lagi dibenarkan untuk menziarahi Baitullah. Serentak dengan ketetapan ini Kota Mekkah dan sekelilingnya telah dibersihkan dari perkara-perkara syirik dan kekufuran. Kalimah tauhid telah ditegakkan dengan gagahnya di bawah naungan Kaabah dengan suatu pemerintahan Islam di bawah pimpinan baginda Rasulullah SAW.

Kegelapan kota Mekkah yang selama ini penuh dengan kebiadaban dan peradaban liar telah diganti dengan sinar yang gemerlapan dengan kesusilaan dan peradaban yang penuh hidayah dan bersopan. Undang-undang dan peraturan yang disukai oleh fikiran dan nafsu manusia telah ditukar ganti dengan undang-undang dan peraturan syariat Allah SWT.

Kota Mekkah diberi gelaran kota suci yang telah bersih dari sebarang bentuk syirik dan kufur. Laungan "Allah Akbar" dan talbiah "labbaikallah humma labbaik" berkumandang di segenap penjuru kota itu, dari rumah-rumah besar yang tesregam indah hingga ke rumah-rumah buruk di tepi bukit dan gunung.

Kesedaran dan kedaulatan Islam dengan risalah Allah mendapat tempat di hati manusia yang kufur pada mulanya. Mereka diberi hidayah dengan Nur Ilahi . Firman Allah SWT yang bermaksud: "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan dan engkau melihat manusia beramai-ramai masuk agama Allah. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya sesungguhnya ia sangat-sangat menerima taubah ". - surah al-Nasr ayat 1-3.

Aidil Adha sebenarnya lebih besar ertinya dan lebih tinggi nilai darjatnya berbanding dengan Aidil Fitri. Sejajar dengan kedudukan itu masa bertakbir dipanjangkan bermula dari malam hari raya hinggalah ke hari yang keempat raya, iaitu hari ketiga belas Zulhijjah yang dinamakan hari-hari tasyrik.

Di samping bertakbir, ummat Islam digalakkan melakukan ibadah korban pada hari-hari tersebut. Bagi ummat Islam yang berada di tanah suci, hari-hari tersebut adalah hari untuk mereka melontar jamrah di Mina. Mereka meneruskan kerja-kerja ibadah haji dengan iringan talbiah :

Ù„َبَّÙŠْÙƒَ اللّÙ‡ُÙ…َّ Ù„َبَّÙŠْÙƒَ، Ù„َبَّÙŠْÙƒَ لاَØ´َرِÙŠْÙƒَ Ù„َÙƒَ Ù„َبَّÙŠْÙƒَ، Ø¥ِÙ†َّ الْØ­َÙ…ْدَ ÙˆَالنِّعْÙ…َØ©َ Ù„َÙƒَ ÙˆَالْÙ…ُÙ„ْÙƒَ، لاَØ´َرِÙŠْÙƒَ Ù„َÙƒَ .

Maksudnya : "Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada pemerintah mu, Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagimu, kami sahut seruan-mu, sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan kesemuanya adalah bagimu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagimu " .

Aidil Adha juga sebenarnya adalah hari bagi kita merayakan ulang tahun pelancaran gerakan tahunan korban. Gerakan ini telah dimulakan sejak ribuan tahun dahulu dan dimulakan oleh Nabi Ibrahim a.s. ketika baginda hendak menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Inilah pengorbanan teragung dalam sejarah manusia.

Nabi Ismail adalah anak kesayangan Nabi Ibrahim dan anak ini diperolehi dalam usia baginda yang telah lanjut. Namun, bila diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengorbankan anaknya ini, Nabi Ibrahim a.s telah bersedia melaksanakan tugas ini dan Nabi Ismail pula penuh kerelaan dan sabar menurut perintah Allah SWT ini.

Kisah ini disebut di dalam Al-Quran: "Maka tatkala anaknya ini sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang bersabar. Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (kami sifatkan Ibrahim dengan sesungguhnya telah menjalankan perintah kami), serta kami menyerunya: Wahai Ibrahim, engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang sebenar ". -surah al–Shaafat ayat 102 - 107.

Peristiwa kepatuhan Nabi Ibrahim a.s untuk menyembelih putera baginda dan kepatuhan Nabi Ismail a.s. terhadap perintah Allah tersebut memaparkan kekuatan iman dan keteguhan mental yang perlu kita contohi.

Sejarah pengorbanan teragung itu tidak tertinggal dalam lipatan sejarah sahaja malah ianya telah dihayati sepanjang zaman demi menegakkan agama Ilahi ini. Pengorbanan Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya dalam menegakkan dan mempertahankan Islam adalah pengorbanan yang amat agong. Baginda dan para sahabat telah mempertahankan Islam bukan sahaja dengan harta benda dan kekayaan mereka tetapi mereka telah mengorbankan nyawa. Tiada pergorbanan yang lebih agong dan utama daripada pergorbanan nyawa dan darah.

Realiti kehidupan kita hari ini, kita tidak diminta untuk mengorbankan nyawa dan darah walau di beberapa negara luar sana, masih ada yang perlu mempertahankan kesucian agama dan kebebasan hidup di tempat sendiri dengan darah dan nyawa. Seharusnyalah kita bersyukur. Bukan sekadar mengucapkan alhamdulillah atau menadah tangan kemudian menyapunya ke muka.

Sebaliknya kesyukuran perlulah disertakan dengan tindakan. Hambakan diri kepada-Nya menjadi abid dan abidah, menghormati orang lain terutamanya ibu bapa malah suami atau isteri dan anak-anak serta jiran sekeliling.

Ingat! Pengorbanan perlulah kena dengan kehendak-Nya. Kata orang kita berkorban biarlah bertempat.

Orang yang berjaya sebenarnya ialah orang yang melakukan pergorbanan, sanggup berkorban masa, wang, jiwa raga, kepentingan diri, tenaga, fikiran, perasaan dan sebagainya kerana kejayaan dan kecemerlangan tidak datang bergolek.

Bukan sahaja ketika bergelar pelajar, malah kerjaya juga perlukan pengorbanan. Sama juga di dalam rumahtangga. Tapi, janganlah hanya mengharapkan orang lain berkorban untuk anda tanpa anda diri berkorban untuk diri anda sendiri....

Renung-renungkan dan cerminkan diri sendiri.... Salam Aidil Adha :)

04 Disember 2008

Hakikat merancang keluarga

Saya terpanggil untuk membincangkan topik ini selepas menerima satu emel berkaitan isu merancang keluarga.

Kebiasaannya, bila disebut 'merancang keluarga', ramai yang memikirkan tentang proses atau usaha untuk menjarakkan atau mengurangkan kelahiran. Hakikatnya, menambah anak pun boleh dikatakan merancang keluarga juga.

Apa pun pendapat anda, rata-ratanya mempunyai alasan dan sebab yang tersendiri. Bagi mereka yang ingin mempunyai anak yang ramai, fakta paling penting yang dipegang ialah untuk meramaikan umat Nabi Muhammad SAW. Bagi mereka, memiliki anak yang ramai itu sebenarnya telah melaksanakan wasiat Rasulullah SAW Rasulullah SAW.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan an-Nasaei dari Sayidina Ma’qal bin Yassar r.a.: “Telah datang seseorang mengadap Rasulullah SAW dan berkata: “Sesungguhnya aku hendak menikahi seorang wanita yang baik dan cantik, namun dia tidak mampu melahirkan anak, apakah aku boleh menikahinya?” Rasulullah SAW berkata: “Tidak.” Kemudian di waktu yang lain orang itu datang lagi kepada Rasulullah SAW dan meminta izin untuk menikahi wanita yang sama. Rasulullah SAW tetap melarangnya hingga permintaannya untuk kali ketiga, juga dilarang oleh baginda dan baginda bersabda: “Nikahilah perempuan yang boleh melahirkan, sebab aku akan berbangga (dengan) banyaknya jumlah kalian di hadapan umat-umat yang lain (di hari kiamat nanti).”

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, daripada Sayidatina Aisyah r.ha, Rasulullah SAW bersabda: “Nikah adalah sunnahku. Barangsiapa yang tidak mengikut sunnahku, maka dia bukanlah termasuk dalam golonganku. Menikahlah kalian. Sebab sesungguhnya aku akan berbangga dengan banyaknya jumlah kalian di hadapan umat-umat lain pada hari kiamat nanti.”

Bukan sekadar melaksanakan hasrat Rasulullah SAW, mereka yang inginkan anak yang ramai ini merasakan mereka mempunyai persediaan yang cukup dan berkemampuan untuk memiliki ramai anak. Walaupun definisi kemampuan perlu dilihat secara lebih menyeluruh, bagi mereka yang inginkan ramai anak, ada tikanya cukup makan minum dan segala keperluan lain sudah memadai.

Bagi mereka yang berpandangan perlu dan penting menjarakkan kelahiran atau mengurangkan bilangan anak pula memberikan beberapa alasan antaranya kemampuan mendidik dan membimbing anak. Mereka ini masih menggunakan serta merujuk hadis yang sama seperti yang saya jelaskan di atas, tetapi mereka lebih menekankan kepada kualiti dan bukan semata-mata kuantiti. Kata yang mudah, mereka menjarakkan anak supaya mereka dapat lebih masa untuk membentuk anak-anak mereka menjadi anak yang soleh dan umat Islam yang berkualiti.

Ya, Rasulullah SAW memang inginkan umat yang ramai tetapi sudah pastilah umat yang ramai itu adalah umat yang baik dan berkualiti. Rasulullah SAW tentu lebih gembira kalau umat yang ramai itu dibentuk dan dididik menjadi umat yang soleh, beriman dan berkualiti. Apakah ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai mampu mendidik anak-anak menjadi umat yang soleh, beriman dan berkualiti?

Inilah maksud saya mengenai definisi kemampuan yang perlu dilihat secara lebih menyeluruh. Dalam zaman serba mencabar ini atau kata Mak saya, zaman 'api dalam kaca dan air dalam besi', tika kebanyakan para isteri terpaksa atau perlu menjadikan wanita dwikerjaya, apakah kita mempunyai masa untuk mempastikan anak-anak kita terdidik dan mampu menjadi insan yang sebenarnya? Tidak dinafikan, ada ibu bapa yang sibuk bekerja dan mempunyai anak yang ramai dan semuanya berjaya menjadi insan berguna. Tepuk hati, tanya kemampuan anda sendiri!

Faktor kesihatan juga adalah faktor penting yang perlu diambil kira kerana ia melibatkan maslahah-maslahah duniawi dan ukhrawi. Faktor kesihatan ini selalunya melibatkan si isteri. Sekiranya si isteri bermasalah dan berisiko tinggi pada setiap kelahiran, bermakna pasangan itu harus redha dengan jumlah anak yang dikurniakan Allah SWT. Nyawa ibu lebih utama dan penting untuk dijaga dan diselamatkan memandangkan anak-anak yang lain masih memerlukan kasih sayang secukupnya dari seorang ibu dan ayah.

Hakikatnya, perancangan keluarga yang bukan semata-mata untuk mengurangkan bilangan anak, adalah tanggungjawab ibu bapa. Perancangan keluarga adalah keupayaan membentuk keluarga ditunjangi lima perkara asas iaitu kesejahteraan fizikal, kemampuan ekonomi, keupayaan emosi, kelapangan masa dan sokongan sosial.

Saya masih belum jumpa kata putus ulama tentang hukum merancang keluarga bagi maksud mengurangkan atau menjarakkan kelahiran. Secara menyeluruh, tidak ada nas dalam al-Quran yang melarang usaha menghalang kehamilan atau mengurangkan bilangan anak.

Sahabat Rasulullah SAW, Jabir meriwayatkan: "Kami mengamalkan al-azl (coitus interruptus) ketika zaman Rasulullah. Baginda mengetahuinya namun baginda tidak melarang kami melakukannya. Sahabat yang mengamalkan al-azl termasuk Ali Abi Talib, Saad ibn Waqqas, Abu Ayyub al-Ansari, Abdullah bin Abbas dan Hassan ibn Ali.”

Fatwa mengenai perancangan keluarga pernah dibuat oleh ulama terkenal, Dr Yusuf al-Qardhawi membenarkan umat Islam merancang keluarga atas alasan kukuh. Alasannya membabitkan kesihatan ibu serta bebanan anak hingga menyebabkan seseorang melakukan perkara haram untuk memenuhi keperluan hidup. Alasan lain termasuk keadaan kesihatan dan pembesaran anak.

Dr Yusuf turut mengesahkan bahawa kaedah perancangan moden mempunyai tujuan serupa dengan coitus interruptus (membuang air mani di luar vagina) adalah dibolehkan.

Namun perlu diingat, pengguguran bukan kaedah merancang keluarga apatah lagi pengguguran memang tidak dibenarkan di negara ini kecuali jika membabitkan kesihatan atau nyawa si ibu.
Kaedah merancang keluarga pelbagai termasuk hormon menerusi penggunaan pil, suntikan dan pacakan (implan), alat dalam rahim, cara kiraan hari selamat, sterilisasi, membuang sperma di luar dan kondom.

Tak kiralah apa juga cara anda, perkara yang paling penting ialah kaedah yang anda gunakan tidak melibatkan perkara yang dilarang di dalam Islam termasuklah anda PERLU DAPATKAN IZIN SUAMI. Kenapa perlu izin suami? Jawapan yang muktamad: KERANA SETIAP ISTERI PERLU TAAT DAN PATUH KEPADA KEHENDAK SUAMI SELAGI IA TIDAK MELANGGAR HUKUM SYARAK.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.” – hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim. Kaum wanita pula dijanjikan syurga hanya dengan melakukan dua perkara iaitu taat kepada Allah dan Rasul dan taat kepada suami.

Ya! Yang mengandung adalah isteri, yang melahirkan juga adalah isteri. Malah, ada isteri yang terpaksa membantu suami membiayai keperluan anak-anak. Saya akui kebenaran tersebut. Namun, semua itu bukan alasan untuk anda bertindak di luar pengetahuan atau keizinan suami. Jika anda mempunyai masalah kesihatan dan diakui oleh doktor yang merawat anda, panjangkannya kepada suami anda. Berbincanglah secara baik.

Perlu diingat, perkahwinan dan rumahtangga adalah hak bersama suami isteri. Setiap suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang tersendiri. Biarpun ada perkongsian tanggungjawab, ia tidak menafikan hakikat bahawa suami adalah ketua keluarga bererti suami perlu tahu dan memberi izin terhadap setiap perkara yang berkaitan dengan rumahtangga anda.

Kenapa suami sebagai ketua keluarga? Tunggu perbincangan saya di dalam Resipi Hidup, majalah Mingguan Wanita dua-tiga minggu dari sekarang, insyaAllah!

02 Disember 2008

Happy birthday to me

Brownies yg disediakan oleh rakan2 sekerja bg meraikan ulangtahun kelahiran saya hari ini. Terima kasih kpd semua...

Alhamdulillah, hari ini genap usia saya 34 tahun. Syukur kpd Yg Maha Kuasa kerana masih mengizinkan saya bernafas hingga ke detik ini.

Terima kasih Mak dan Bapa, dua insan paling istimewa di dalam hidup saya yg bertanggungjawab melahirkan saya ke dunia hingga membenarkan saya merasai erti hidup. Mak dan Bapa lah yang mendorong saya hingga saya mampu memiliki segala pencapaian yang saya terima selama ini. Mak dan Bapa tak pernah lupa mengingatkan saya tentang tanggungjawab terutama tanggungjawab sebagai hamba-Nya malah awal pagi ini, ayat yang hampir sama setiap tahun: jangan lupa solat, jangan tangguhkan solat...


"Ya Allah!! Kau panjangkanlah usiaku agar aku mampu membesarkan, mendidik dan membimbing anak-anakku ke jalan yang Kau redhai.... amiinnnn!!!!"


Terima kasih kpd anak2ku sayang dan adik2 yg mengadakan kejutan bg meraikan ulangtahun kelahiranku malam tadi.
Sambutan lebih awal mlm td sebab seorang drpd adik2 saya bekerja hingga lewat malam hari ni...Anak2 pun kalut nak potong kek :)


Terima kasih kpd Abi anak2ku kerana memberikan aku kekuatan dan ketabahan utk meneruskan kehidupan.


Terima kasih kpd pihak pengurusan syarikat yg mengadakan majlis bg meraikan ulangtahun kelahiran semua staf termasuk saya pd 25hb Nov baru-baru ini...

***Terima kasih kpd semua yg memberikan ucapan dan mendoakan keselamatan dan kebahagiaan. Moga kita semua sama2 bahagia menjalani kehidupan di dunia mengumpul bekalan utk kebahagiaan abadi di akhirat kelak :)

01 Disember 2008

Kesan zikir kepada otak manusia

Saya agak sibuk menyediakan bahan utk training tengah bulan ni. Syukur ada maklumat berharga drpd seorang pengirim emel setia utk dikongsi bersama semua. Tak pasti siapa pemilik asal bahan menarik ini. Apa pun, setiap ilmu adalah milik semua, insyaAllah!!
_____________________________________

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran. Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993.

Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang mudah kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

****Sumber: Forward Email